From the monthly archives:

September 2009

1 Syawal tahun ini

20 September 2009

Tidur pukul 4 pagi kerna menyiapkan kuah kacang.

Solat sunat di Khalil Mosque. Penuh sangat. Saya solat satu saf dengan Chrysler, BMW dan Yaris. Kereta ini tidak patut diparking di laman masjid. Saf perempuan di depan kami. Sesak. Susunan pun dah tebarai.

Balik rumah. Sesi foto di laman rumah. Sambil makan biskut raya rasmi New Kirby.

Ke Village. Makan ramai-ramai. Kami sebagai penganjur bersama. Ramai rupanya. Ingatkan sikit.

Ke rumah junior di Glen Osmond. Penat dah mula datang.

Di rumah. Sekarang. Ngantuk. Malas gila nak pergi uni. Masih banyak rumah belum diziarah. Nanti-nanti ye kawan-kawan. Saya nak ke uni.

Setelah selesai tidur seketika. Bersiap untuk ke uni.

Kawan-kawan turunkan saya di uni sementara mereka meneruskan perjalanan ke Rumah Terbuka Norwood.

Saya berumah terbuka dalam makmal Robotik. Bersama robot saya. Setakat ini beliau masih enggan untuk menyediakan juadah raya untuk saya.

Akan diupdate secara masa nyata.

Email Email Print Print


Band baru yang tidak terlibat – Hutan!

Sekarang baru kamu tahu mengapa saya bersusah payah mengimbangkan mikrofon untuk semua instrumen ini. Italian Centre tidak besar sangat. Gitar-gitar itu semuanya boleh didengar terus daripada amp.

Tapi tidak. Itu tidak cukup.

Saya mahukan semua bunyi ditangkap oleh mikrofon-mikrofon, disuap (feed?) ke konsol pembancuh (mixing console?) lalu diperdengarkan melalui pembesar suara.

Dan dalam masa yang sama dihantar ke komputer saya untuk dirakam.

Inilah hasilnya.

Audio selepas lompatan (audio after the jump?)

[Ahem.. Klik untuk sambung..]

Email Email Print Print

Balik kampung

17 September 2009

Saya beraya di Adelaide sejak tahun pertama. Tiada masalah bagi saya. Tiada masalah bagi famili saya.

Ya, saya tahu. Beraya di rumah dengan famili, lebih meriah, lebih baik. Tipulah kalau saya tak mahu balik waktu raya.

Dan ini bukan catitan orang yang dengki tidak dapat balik raya. Kamu tahu saya susah nak terkesan dengan benda-benda kecil macam ni.

—-

Saya rasa, beraya di Adelaide, atau di perantauan secara amnya, tidaklah teruk sangat pun. Mungkin saya seorang yang terlalu simplistik atau apa.

Ia satu pengalaman yang tidak boleh didapati di Malaya. Sudah 20 tahun (kurang lebih) kita beraya di Malaya, apa salahnya kita merasa beraya sendiri di tempat orang.

Bukanlah tempat orang sangat pun. Bukan tiada orang Melayu pun di sini (atau di mana-mana kamu berada).

Bagi yang balik, alhamdulillah. Sampaikan salam pada famili kamu.

Bagi yang tidak balik, kesat air mata tu. Dan bangunlah. Kalau kamu terlalu fikirkan nak balik Malaya, nanti hari raya yang di depan mata berlalu begitu saja tanpa kamu sedari.

Memang tak boleh balik itu sudah cukup teruk. Tidak perlu kamu kompliketkan dengan keadaan dan berfantasi dengan benda-benda yang kamu tahu kamu takkan dapat.

Memang tak boleh balik itu sudah cukup teruk. Tidak perlu terukkan lagi. Mari kita beraya di sini sesama kita. Yang tidak kurang meriahnya ini.

Eid membawa maksud kegembiraan (kurang lebih). Tidak perlu belot semangat perayaan ini.

Terimalah. 5-6 tahun lagi nanti, mungkin semua ini tak membawa kesan pada kamu. 5-6 tahun lagi nanti, mungkin ini memori yang kamu akan simpan sampai mati.

Nak ucap selamat hari raya. Tapi masih awal.

Image credit: Phine_H

Email Email Print Print

Terima seadanya

14 September 2009

Cuba tenang seketika
Cuba pejam mata
Biar resah hilang saja
Dan cuba diamnya bicara
Sediam bersama
Di temani jasad kita
Kan ku cari konklusi
~ Hujan

Apabila berlakunya sesuatu yang kita tak mahu berlaku, apakah perasaan kamu?

Dale Carnegie pernah memberitahu saya (sudah tentu, dalam sebuah buku beliau. Takkanlah tiba-tiba beliau datang mengetuk pintu bilik saya malam-malam dan perturunkan nasihat kan): Accept the worst. Atau, jika kamu seorang patriot bahasa, terimalah yang terburuk.

Nasihat ini saya selalu panjangkan pada kawan-kawan yang meminta nasihat berkaitan hal ini. Apa mujarabnya nasihat ini? Mungkin saya boleh ceritakan dalam bentuk.. erm… cerita!

Karnival

Malaysian Carnival merupakan projek terbesar MASCA untuk sesi ini. Setelah beberapa ketika mencari penaja, kami mendapat satu pencerahan agung di bawah pokok Bao: credit crunch (bukan bijiran sarapan)!

MSD sendiri sebagai penaja utama kami tahun lepas tidak dapat memberi barang sesen pun.

Tahun lepas, South Australia tidak menghantar kontinjen ke NCG. Yang membawa maksud, peruntukan NCG boleh ditransfom kepada peruntukan Malaysian Carnival.

Maksudnya: kami tiada duit!

Mengikut teori ekonomi, tiada duit maka tiadalah khemah, tiadalah pentas, tiadalah peti ais dan adik-beradiknya. Tiada semua ini = tiada majlis.

Setelah lama cuba menolak kebenaran, kerana saya seorang idealis, Munir akhirnya mengangkat isu ini, kerana beliau seorang realis. Realiti = tiada Malaysian Carnival = perkara yang saya tidak mahu berlaku.

Saya boleh beri berpuluh sebab mengapa saya tidak mahu perkara ini berlaku. Saya rasa kamu boleh teka sebahagiannya. Terutama kawan-kawan dalam MASCA.

Tapi, ia hampir pasti akan berlaku. Menolak kebenaran itu hanyalah sekadar itu: menolak kebenaran. Sejauh mana mahu ditolak, ia tetap akan datang.

Jadi, saya cuma menelan nasihat sendiri: Terima yang terburuk.

Terima yang terburuk ini maksudnya bukanlah kita menadah tanpa usaha dan sekadar berpuas hati dengan setiap yang kita dapat tanpa mahu menambah baik. Tidak sama sekali.

Cuma, saya melihat, ketidakterimaan kita terhadap sesuatu menjadikan sesuatu itu lebih berat. Untuk menjadi sedikit filsuf, kesedihan kita terhadap kesedihan kita adalah satu tahap kesedihan yang tersendiri. Atau bak kata orang kampung saya: Our unhappiness about our unhappiness is another level of unhappiness.

Perkara terbaik yang boleh dibuat ialah: menghindar sesuatu yang tidak diingini. Perkara kedua terbaik (kalau ia tidak boleh dihindar) ialah: terima sesuatu itu dan cuba menambabaik daripada situ.

Kita menerimanya supaya kita boleh bertenang dan berfikir dengan waras. Dan supaya tidak ditelan kerisauan melampau.

Berbalik kepada soal Malaysian Carnival tadi, sewaktu berbincang tentang itu, saya mewujudkan situasi imajinari dan teoretikal: kalaulah Malaysian Carnival itu saya dah mansuhkan daripada kalendar, apa yang kita boleh buat? Kalau kamu mengintai bilik itu waktu itu, mungkin kamu akan nampak awan yang mendung telah beredar dan mentari pun menyinar. Dan mata setiap kami bersinar-sinar macam kartun Jepun.

Selepas kita boleh bertenang dan berfikir dengan waras, baru kita boleh mencari jalan untuk menambah baik keadaan. Dalam kes Malaysian Carnival tadi, situasi imajinari itu membolehkan kami mengangkat beban dan mengalihkan awan hitam bagi membebaskan kepala untuk berfikir perkara-perkara lain.

Akhirnya, situasi imajinari itu disahkan dan kami betul-betul berfikir tentang alternatif. Rumah terbuka hari raya, misalnya.

Yang membawa kita kepada satu lagi cerita.

Raya

Idea asalnya ialah: kami mahu menganjurkan solat Raya dan seterusnya rumah terbuka Aidilfitri.

Sekali lagi, saya terlalu idealistik. Masa yang terhad. Tarikh raya yang tidak konstan. Dewan yang masih belum ditempah. Dan sekali lagi, tarikh raya yang masih samar menyusahkan penempahan dewan. Masa yang suntuk.

Dan saya. Saya ada seminar projek tahun akhir sehari selepas majlis. Kamu mungkin dah lama tahu, kalau studi dan MASCA bertembung, biasanya MASCA yang menang.

Sekali lagi, Munir membawa kami ke realiti. Membawa kami untuk menimbangkan rancangan asal: rumah terbuka Aidilfitri pada Sabtu pertama Syawal, bukan 1 Syawal.

Sekali lagi, saya mengaplikasikan teori situasi imajinari saya. Kali ini dalam kepala sebab ahli sidang terlalu ramai untuk membincangkan sesuatu yang teoretikal.

Dan sekali lagi, kami cuba membuat lemonade daripada lemon. Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran MASCA SA dan Kelab UMNO SA akan berlaku pada 26 September 2009. Sila semak pemberitahuan berhampiran anda. Nanti.

Bahagia

Apa kena-mengena ini semua dengan kamu…

Saya mungkin bercerita tentang perkara yang jauh daripada kamu. Tentang sesuatu yang kami tidak ambil pusing pun. Cuma, tidak bermaksud kamu tidak boleh mengaplikasikannya untuk perkara-perkara yang kamu peduli.

Saya melihat ramai orang sekeliling saya dan orang yang rapat dengan saya, yang bermasalah untuk menerima sesuatu di luar kawalan mereka. Dan selalunya, membelasah diri mereka cukup-cukup untuk sesuatu yang tidak boleh dikawal.

“The primary cause of unhappiness is never the situation but your thoughts about it.” ~ Eckhart Tolle

Kalau sesuatu perkara tidak diingini berlaku dan ia tidak boleh dielak, terimalah. Dan improvlah dari situ. Jangan menoleh ke belakang. Jangan memberi alasan untuk menyedihkan diri sendiri. Jangan membuat cerita untuk memberi lebih sebab pada diri sendiri untuk tidak mahu terima.

Kalau kita membeli kalkulator dan ia tidak berfungsi seperti kita mahu atau kalau ia selalu berfungsi bukan seperti kita harap, mungkin kita perlu rujuk buku panduan pengguna. Kalau perlu, mungkin kita ubah cara kita menggunakannya atau mungkin kita hantar repair.

Sama juga seperti hati dan perasaan. Kalau kita selalu marah-marah atau selalu sedih atau selalu murung atau selalu mempunyai perasaan negatif, mungkin kita perlu belajar bagaimana untuk menggunakannya. Kalau perlu, mungkin kita ubah cara kita menggunakannya atau mungkin kita hantar repair.

Lawatan sambil belajar:
Is that so?
Accept what is – Don’t judge good or bad

Foto: kwerfeldein

Email Email Print Print

Aktiviti puasa

12 September 2009

Automatik
Setelah berkemampuan menulis secara mobil, saya berasa sangat pelik mengapakah blog ini masih tidak dikemas kini sekerap yang saya mahu. Saya baru sedar yang mempunyai WordPress di iPod Touch tidak akan membuatkan blog ini terkemas kini. Sehinggalah saya sendiri yang menulis dan menerbitkan tulisan-tulisan saya.

Sesudah 4 tahun saya diekspot ke mari, kawan-kawan saya masih bertanya bagaimanakah berpuasa di sini. Seolah-olah berpuasa di sini rukunnya lain pula. Atau makan di sini melalui telinga pula.

Saya perturunkan beberapa kisah Ramadhan di Adelaide.


Berbuka di masjid

Kami serumah berbuka di masjid hampir setiap hari untuk separuh masa pertama Ramadhan. Berbuka di masjid al-Khalil mempunyai cabaran tersendiri.

Pak-pak Arab ini mungkin beranggapan kami makan banyak seperti mereka. Orang Arab sangat-sangat tidak berkira soal menjamu tetamu. Makan seorang, tapi nasi yang diceduk bagaikan makan berlapan.

Kalau berpuasa ialah menahan diri daripada lapar (antaranya), berbuka di Khalil ialah menahan diri daripada kenyang.

[Ahem.. Klik untuk sambung..]

Email Email Print Print

Mobiliti

11 September 2009

Ini cubaan.

Ini catatan mobil saya yang pertama. Tidaklah mobil sangat sebenarnya. Komputer saya tersergam megah depan mata saya sana. Tapi saya tidak perlu duduk mengadap beliau.

Saya boleh menulis sambil baring. Bukan saja di atas katil saya. Malah di atas katil rakan-rakan serumah saya.

Yang menjadi masalah ialah menggeladah ruang maya ini bagi mencari visual menemani aksara yang menari di sini.

Buat masa ini tataplah tarian ini tanpa sebarang visual.

Saya juga sedang dalam proses mengajar kibod iPod ini mengeja dalam bahasa Melayu. Saya fikir beliau mempunyai kamus terbina dalam. Rupanya saya perlu menulis dahulu. Beliau akan belajar melalui pengalaman.

Ini cubaan.

Email Email Print Print