From the monthly archives:

October 2009

Untuk apa ada kawan

13 October 2009

Saya selalu fikir: setiap seorang kawan saya, mereka kenal bahagian yang berlainan tentang diri saya.

Kita ini bukanlah robot yang konstan dan mekanikal sentiasa.

Kita adalah manusia yang akan beradaptasi dengan environmen. Terutama dengan orang sekeliling kita. Dengan orang lain, kita akan tunjuk sisi lain.

Contoh ekstrem ialah orang yang bermuka-muka.

Tapi, lebih daripada itu, ia bukannya sesuatu yang semata-mata hipokrit. Ada orang tertentu yang mungkin punya persamaan dan kita kongsikan bahagian itu. Atau ada orang tertentu yang membuatkan kita selesa untuk kongsikan sesuatu bahagian yang lain pula.

Yang membawa kepada ayat pertama tadi.

Seorang kawan pernah berkongsi dengan saya: kalau kita banyak minat, mungkin kita boleh ada banyak kawan. Atau mungkin, kita mudah nak berkawan. Sebab kita mudah nak cari titik persamaan.

Lebih kurang begitu ayatnya. Waktu itu, kami sedang berbicara tentang speaker. 5.1 vs 2.1. Z-5500 vs Creative Inspire. Etcetera.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan bercerita tentang muzik.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan bercerita tentang bisnes.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang politik.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang emosi.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang tulisan.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang filem.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang blog.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang masa depan.

Ada orang yang bila saya jumpa, kami akan berbicara tentang…

Setiap orang umpama memegang kunci untuk satu-satu pintu pada diri saya.

Punca semua ini ialah: tadi petang, saya berbual dengan kawan sekolah saya. Yang mengaktifkan sesuatu dalam diri saya. Yang punya kunci untuk satu pintu itu.

Saya sendiri sudah lupa yang dulu, saya selalu tulis puisi. Suka-suka. Selalu tulis-tulis untuk kawan-kawan dan diri sendiri.

Saya sendiri sudah lupa apa stail tulisan saya yang dia suka sangat.

Semuanya macam datang tiba-tiba melawat saya tadi. Saya yang dulu. Kawan-kawan saya yang dulu. Perangai saya yang dulu. Meja saya yang dulu. Loker saya yang dulu. Pen saya yang dulu. Kertas saya yang dulu. Puisi-puisi saya yang dulu.

Semuanya.

Kawan-kawan, terutama yang rapat, bagi saya banyak menyimpan cebis-cebis diri saya.

Email Email Print Print

…sangat-sangat mengikut mood saya.

Biasanya bila saya ingat, saya akan menambah sesuatu di sini. Biasanya, saya lupa. Lagi-lagi bila sibuk.

Lagi-lagi bila ada sesuatu event yang saya mengjadi sebahagian daripada tim penganjurnya. Lebih-lebih lagi apabila kawan-kawan saya bertandang ke rumah saya setiap hari.

Raya tahun ini merupakan raya antara raya terbaik saya. Dan adalah raya terbaik saya di Adelaide.

Si skeptik dan sinikal (dan si penyedih) akan berkata: best sangat ke sampai boleh ganti raya dengan famili?

Saya tidak berkata apa-apa tentang membarterkan famili saya dengan kawan-kawan saya. Dua kategori itu lain. Bukannya satu lebih baik daripada yang satu lagi. Mereka semata-mata lain. Saya tidak membandingkan keduanya.

Saya tiada famili di sini. Saya ada kawan-kawan. Dan saya manfaatkan apa yang saya ada sebaiknya. Saya terima tanpa mempersoal dan membanding-banding.

—-

Dulu saya gila menulis di blog personal saya. Walaupun saya jarang menulis tentang personal. Walaupun kawan selalu komplen sebab saya tidak tulis tentang saya. Saya sudah melepasi tahap itu agaknya.

Dulu saya gila tentang statistik dan jumlah komen dan taburan demografik pembaca. Saya sudah melepasi tahap itu agaknya.

Sekarang saya menulis lebih personal di sini. Blog ini telah ditransfom menjadi lebih narsisistik daripada blog saya sebelum ini.

Sekarang saya tidak kisah lagi untuk menulis sangat di sini (satunya, mungkin kerana saya ada avenu lain, yang tidak personal).

(Ironi, saya obses dengan personal blogging di kala saya tidak menulis tentang sesuatu personal, saya hilang minat pada personal blogging di kala saya menulis sampah-sarap di sini).

Cuma, bila beberapa laman memaut (link?) kepada blog ini, saya bagaikan bersalah apabila pelawat dihidangkan dengan sawang labah-labah. Saya tidak mahu dilabel mentafsir lawan sesawang secara terlalu literal.

Dan saya diajar untuk melayan tetamu dengan baik (seperti yang telah saya demokan selama 2 minggu ini, agaknya).

Dan Twitter.

Dulu, saya sekadar mahu mengikut secara pasif.

Cuma, bila saya diletak dalam #followfriday bersekali dengan barisan geektwitteratti handalan, saya berasa satu beban besar diletak ke atas pundak.

Saya dulu pernah bercita-cita mahu mengubah dunia melalui tulisan saya. Dunia tidak bermaksud satu dunia yang besar ini. Dunia mungkin merujuk kepada mana-mana dunia yang saya rasa mahu hinggap pada tiap-tiap ketika itu.

Dan, saya rasa saya punya kuasa untuk itu.

Orang kata: dengan kuasa yang besar, datang tanggungjawab yang besar.

Email Email Print Print