From the monthly archives:

January 2010

Happy birthday Nazira

29 January 2010

Ini siaran tertunda.

22.10.2009
Hari jadi Nazira

26.10.2009

Parti

Saya buat kek untuk Nazira. Bukan satu, tapi dua. Satu resipi, Amer bagi. Satu lagi resipi, ibu yang bagi.

Amer pun buat satu lagi kek: marble cake.

OK. Ni part yang agak tricky. Sepatutnya kami parti untuk Nazira malam nanti. Tapi, petang nanti, ada parti juga di sini. Dan, ini part yang paling tricky, parti tu untuk hari jadi Sarah. Hari jadi Sarah sama dengan Nazira. Cuma sebab hari ni hari Sabtu, baru boleh parti hari ni.

Masalah:
1. Saya buat kek. Bukan satu, tapi dua. Tambah marble cake lagi satu tu, semua ada tida kek. Semua orang akan datang petang ni, termasuk Nazira. Sudah tentu peti ais akan dibuka waktu Yani masak nasi ayam nanti.

Soalan: Di mana saya nak sorok kek?
Jawapan: Dalam laci saya. Sebelah CD dan DVD. Tapi tak muat. Satu lagi kek diletak dalam rak buku. Terlindung dengan sebuah buku dari depan. Kalau buku tu jatuh, confirm nampak.

Semua orang sudah tentu akan masuk bilik saya juga. Nak dengar lagu, nak tengok movie, nak tidur, nak letak beg dan macam-macam lagi. Semua orang, termasuk Nazira.

Soalan: Kantoi tak letak kek dalam laci dan rak buku saya?
Jawapan: …di akhir siaran nanti.

2. Parti hari jadi Sarah. Confirm ada kek. Confirm ada lagu hari jadi. Lepas tu, ada orang mulut gatal suruh nyanyi untuk Nazira sekali. Sebab semua dah tahu rancangan Kirby ke-9 untuk malam nanti, semua tak nyanyi. Buat bodoh.

Hasil: Nazira kecil hati. Merajuk sebab takde orang nak sambut hari jadi dia.

3. Lepas selesai, Nazira minta saya hantar balik. Kalau saya hantar balik, rancangan malam nanti dah lari. Saya minta Amer hantar Nazira balik. Tanpa gagal, lengkaplah kemarahan Nazira pada saya.

Parti yang satu lagi

Saya dah beritahu Nazira saya mahu datang nanti malam. Sekali lagi, tanpa gagal Nazira kata TAK PAYAH! Hiyah!

Oh, hiyah itu saya yang tambah.

Kami bergerak. Berkumpul empat buah kereta di Rose Park sebelum ke rumah Nazira. Sampai depan Highgate, saya cuba call Nazira. Dia tak angkat fon. Dia sudah tidur. Penat, katanya. Tapi saya tahu, lebih kepada merajuk kat saya, sebenarnya.

Nak masuk ke Highgate ni agak tricky sebab perlukan proxy. Cap jari saya sudah tak valid lagi. Maklumlah dah tak tinggal sana lagi.

Skuad pengebom telah bersiap sedia dengan peluru yang cukup. Tapi, target tidak dapat dijejak. Tentera saya semua sudah mengadu sejuk. Mungkin latihan militari mereka tidak termasuk latihan dalam musim sejuk. Saya meminta mereka bersabar, menggunakan kod morse.

Plan B: Hantar skuad peninjau.

Saya tugaskan Amer untuk pujuk Nazira.

Amer menjalankan tugas dengan baik. Dan Nazira keluar. Dan sebaik sahaja beliau masuk dalam garis penglihatan, beliau dibedil dengan amat dahsyat. Dengan belon. Yang di isi air. Dan serbuk kunyit. Dan belacan. Dan budu. Dan… saya tidak pasti. Perlu tanya sektor senjata.

Dipendekkan cerita, Nazira sudah siap mandi. Kami bersegera ke Glenelg Beach. Di tepi pantai yang sejuk, kami makan. Macam tak cukup-cukup makan nasi ayam tadi.

Kotak beracun

Ciri yang ada pada parti ini yang tiada pada parti lain ialah: kotak beracun.

Semua orang takutkan kotak ini. Saya mendesain kotak ini supaya banyak perlakuan melibatkan semua orang. Memang ada orang yang didenda, tapi banyak aktiviti memerlukan semua orang.

Contoh: yang didenda berlakon sebagai mak cik jual nasi lemak (lebih kurang gitu la), yang lain jadi pelanggan.

Aktiviti favorit saya: bergolek ramai-ramai dari lereng ke kaki.. erm.. bukit yang kecil. Seronok sampai nak buat banyak kali.

Kotak ini tidak habis dimainkan. Saya cipta banyak aktiviti, yang digunakan hanya sedikit.

Kami pulang sebab a) ramai yang takut sangat dengan kotak itu, b) cuaca sangat sejuk.

Sekian.

Sesudah parti

Majoriti peserta balik rumah. Tapi ada yang teruskan penginapan di The Kirb ini. Kami tonton muvi lepas tu. Kalau tak silap saya.

Sekian.

Eh, lupa.

Jawapan: Ya dan tak.

Tak kantoi walaupun bilik bau macam bau kek.

Kantoi dengan semut. Sepanjang seminggu lepas tu, semut mula membina setinggan di dalam laci dan almari buku saya.

Mereka semua sudah dihalau dan rumah setinggan mereka dirobohkan. Mereka tidak dibayar pampasan mahupun rumah gantian.

Kredit:
Birthday baby

Email Email Print Print

Ini bukan baru

25 January 2010

Saya ditanya lebih kurang begini: ini blog baru kau ke?

Jawapan pendek: Tidak.

Jawapan panjang: Mungkin ya. Mungkin tidak.

Kanvas Kosong telah wujud lebih kurang setahun. Saya pun tak berapa pasti. Makin lama saya hidup, makin saya yakin tarikh dan hari ulang tahun adalah benda yang arbitrari. Bila-bila pun tak kisah. Yang penting, ada.

Dari mana asal usul Kanvas Kosong ini?

Mari kita ke segmen sejarah peradaban blog saya.

Blog sulung saya telah lama saya tinggalkan. Kamu boleh lawat di sini. Saya jarang ke sana sekarang dan ia cuma dilawati oleh manusia yang mahu membuat duit dengan mempromosi cara-cara membuat duit (kalau saya rajin, saya dilit iklan itu).

Saya tidak suka perkataan benci, tapi saya benci manusia kategori itu. Manusia yang tiada emas dan tidak melombong emas. Cuma mengambil untung dengan menjual peralatan melombong emas. Emasnya, wujud atau tidak, entah! Saya harap, kamu tidak tertipu dengan emas imajinari sebegitu.

Kalau rajin, kamu boleh jadi arkeologis dan gali semua catitan lama saya. Ada yang saya banggakan. Ada yang saya malu nak mengaku itu tulisan saya.

Apapun, semua itu sebahagian daripada saya. Mahu atau tidak.

Di zaman kegemilangannya, saya menulis hampir setiap hari. Kebanyakannya tidak peribadi. Kalau peribadi, biasanya disalut coklat ekstra supaya tidak jelas. Tidak, saya bukan pemalu. Cuma… saya sendiri tidak pasti.

Di zaman kegemilangannya, tidak ramai sangat pun yang baca. Sesekali apabila ada orang yang ulas tentang blog saya atau bertanya tentangnya, saya kembang hidung.

Apabila saya ke Rumah Pena tahun lepas, ada yang masih ingat blog itu walaupun sudah 2 tahun ia berkubur. Saya sedikit bangga untuk itu.

Sesudah blog itu saya kebumikan tanpa talkin, saya dijangkiti virus yang pelik. Saya suka buka blog dan tutup blog.

bukhariramli.com telah hidup dalam pelbagai bentuk dan stail. Lepas saya bosan, saya bunuh ia.

Saya reinkarnasikan semula. Lepas saya bosan, saya bunuh ia lagi.

Kanvas Kosong adalah cubaan saya untuk kembali. Banyak yang berselirat dalam kepala saya membuatkan ia termangu-mangu tanpa arah.

Ia sudah beberapa kali dibunuh dan dipindah. Dibunuh dan dipindah.

Sekarang, inilah ia. Yang kamu baca ini.

Ya. Ini bukan baru. Kanvas Kosong sudah wujud beberapa ketika. Cuma, kredit kepada yang bertanya, mungkin semangat ia semangat baru.

Atau… semangat lama yang baru datang.

Imej:
oldcar

Email Email Print Print

Amaran: merapu. Seriously, semua ini merapu. Saya tak boleh tidur dan saya tulis semua ini.

Saya dah beri amaran kan?

Banyak perkara yang tak macam yang saya mahu. Biasanya, saya tak kisah. Saya manusia simplistik dan minimalis (okay, simplistik dan minimalis mungkin tiada kaitan dengan apa yang kamu akan baca lepas ni, tapi kamu faham kan?). Satu benda tak jalan, kita ikut buat benda lain yang jalan. Kalau jalan tu tak boleh, kita ikut jalan lain.

Kisah benar, waktu saya kemalangan minggu lepas pun, bila sampai rumah saya buat bodoh je. Siap boleh nak tonton filem lagi. Yalah, nak nangis pun dapat apa. Nak risau pun dapat apa.

Oh, itu mantra saya: risau pun dapat apa.

Kamu patut ingat itu. Risau tak membawa apa-apa. Kalau itu satu-satunya yang kamu dapat daripada membaca blog saya ini, saya sudah puas hati.

Eh, saya melalut. Balik kepada topik.

Ketenangan saya ini mengundang masalah. Bila saya tidak kisah, tidak beremosi, orang ingat saya tiada perasaan.

Orang yang saya sayang kata saya tak sayang dia balik.

Seriously, kalau kamu tak bersedih gila-gila atas pemergian seseorang, adakah itu tanda kamu tidak sayang pada seseorang itu?

Adakah sayang kamu pada orang yang dah pergi berkadar langsung dengan betapa hebatnya kamu berkabung dan bersedih untuk dia?

Saya rasa tak.

Mungkin kamu kuat. Mungkin kamu rasional yang setiap yang hidup, akan mati. Kan?

Tak. Tiada kaitan dengan saya sekarang. Cuma mahu mengilustrasikan poin saya.

Macam-macam perkara yang jadi tak macam saya mahu. Saya tak kisah.

Yang saya kisah.. hurm.. mungkin saya tak perlu tulis di sini. Yang buatkan saya rasa sesuatu yang patut saya rasa a) lepas kemalangan i.e. tak sedap hati, b) apabila benda yang saya nak tak jadi macam saya nak i.e. sedih.

Saya kisahkan itu dan saya tak suka.

Mungkin ini bukan avenu sesuai untuk ini semua. Cuma saya perlu tulis. Janji, ini last. Esok, saya cari tempat lain.

Ya. Saya tulis ini semalam.

Ya. Robot itu (bukan) saya.

Email Email Print Print

Bukan seorang robot

24 January 2010

Walaupun En. Zen (ya pembaca lama, setelah 3 tahun, En. Zen kembali ke blog kegemaran kamu) seorang yang cool dan tidak menunjukkan terlalu banyak emosi, beliau bukanlah seorang robot.

Sekian, terima kasih.

Ini cubaan saya untuk menulis prosa merapu-rapu. Setelah lama menyepi, saya sudah tidak mampu untu merapu dengan bagus. Di atas adalah bahan bukti nombor satu.

Imej:
Robot

Email Email Print Print

Saya dan aku

24 January 2010

Apabila saya bahasakan diri saya ‘saya’, tulisan saya bunyi macam terlalu formal. Macam pembaca berita rangkaian tv kerajaan (saya syak, tv swasta pun sama, cuma saja saya nak sebut kerajaan di situ).

Belum lagi cerita tentang stail. Saya rasa, kadang-kadang, macam sedang membaca tulisan orang lain.

Seperti biasa, saya buat ini semua seperti satu eksperimen. Di blog lama saya juga saya pernah, secara temporari, menggantikan aku dengan saya. Kemudian, saya menjadi aku semula.

Di sini pun. Mula-mula, saya adalah aku. Sekarang, aku adalah saya.

Kamu juga. Mula-mula, kamu adalah kau. Sekarang, kau adalah kamu.

Kamu dah pening ke belum?

Email Email Print Print

Cuba menulis

23 January 2010

Saya cuba menulis setiap hari. Tidak kira sama ada saya publish atau tidak.

Doakan saya.

Email Email Print Print
Ini bukan cara saya memasak

Ini bukan cara saya memasak

Percaya atau tidak. Cuti musim panas kali ini, saya mendapat kerja yang pertama.

Tidaklah bermaksud saya tidak pernah kerja sebelum ini. Benarkan saya untuk menjelaskannya.

1
Sejak darjah satu saya sudah sibuk menolong ayah saya di Pasar Mini Ramli. Saya pernah jadi driver, cleaner, accountant, assistant manager, customer service representative, tax officer, marketing consultant, market researcher dan segala macam jadah yang kamu boleh buat di sebuah pasar mini.

Tapi itu bukan kerja betul-betul. Lebih kepada, saya sekadar tolong ayah saya.

1.5
(Selingan: nanti akan saya rincikan cerita-cerita tentang pasar mini itu)

2
Tahun 2008, seorang kawan saya bekerja cleaner di sebuah gedung kapitalis terkemuka. Dan saya, diminta untuk membantu beliau. Jadi, seminggu sekali, saya bangun pukul empat pagi untuk membantu beliau menunaikan tanggungjawab sebagai seorang cleaner.

Tapi itu bukan kerja betul-betul. Lebih kepada, saya sekadar tolong kawan saya.

3
Saya ditawarkan bekerja di sebuah restoran melayu di sini atas rekomendasi seorang kawan saya. Beliau mungkin terpesona dengan kemahiran saya bermain pisau dan kuali, membuat magis menukar tepung kepada karipap. Atau mungkin beliau kesian tengok saya tiada apa nak dibuat.

Pendek cerita, saya sekarang bekerja di Swinging Bowl (ya, mangkuk ayun, mat saleh tak dapat tangkap lawak tu). Dan itulah pekerjaan pertama saya.

Cuti musim panas kali ini, saya mendapat kerja yang pertama. Percaya atau tidak.

Imej: JustinLowery.com

Email Email Print Print