
Ya, sudah rasmi. Sebelum ini kamu mungkin dengar-dengar atau curi-curi dengar daripada kami. Sekarang ia sudah rasmi.
Walaupun kerja-kerja sudah bermula, semalam baru kami bermeyuarat. Semalam baru ada organisasi yang rasmi.
Malaysian Carnival 2009
Tarikh: 11 Oktober 2009
Tempat: Rymill Park, Adelaide
Kalau kamu kurang pasti Rymill Park di mana . Sila rujuk peta di bawah.
View Rymill Park in a larger map
Tahun lepas, tempat kejadian Malaysian Carnival ialah di Elder Park. Beliau lebih besar berbanding Rymill Park. Mengapa kami tidak buat di Elder Park?
Kerana Elder Park terlalu manja. Beliau sedang menjalani proses ‘berehat’ setelah penat menjadi tapak pesta. Remediation bak kata orang kampung saya.
Terlalu awal, akan bertembung dengan raya. Terlalu lewat, kita akan mengalami kejadian Malaysian Carnival terlalu hampir dengan periksa. Mungkin tiada apa-apa bagi kamu. Tetapi, bagi kami yang nak menganjurkannya ini, boleh membunuh jugalah.
Tahun lepas, Malaysian Carnival berlaku pada bulan Ogos. Mengapa tidak buat pada bulan Ogos?
Kerana sebab yang serupa. Bulan Ogos, Elder Park juga tersangat manja. Beliau berehat selama sebulan. Lagipun, bulan Ogos kita akan puasa. Jadinya, masa terlalu suntuk. Tapi ada perkara lain akan berlaku pada bulan Ogos…
Apa yang berlaku pada bulan Ogos?
Kamu ni betul-betul banyak tanya. Pada bulan Ogos, akan ada Malaysia Nite (ini hanya nama kod, beliau akan direbrand kepada nama yang lebih ranggi dan sporty sesuai dengan tema beliau nanti).
Malaysia Nite 2009
Tarikh: 15 atau 16 Ogos 2009
Tempat: Masih belum diputuskan
Tempat masih belum diputuskan? Ya, kami masih berusaha untuk memutuskan tempat. Dom Polski sudah penat menjadi tempat kejadian Malaysia Nite ini. Sudah 4 tahun (5 barangkali).
Tahun ini kami mahu memindahkan kejadian ini ke tempat yang lebih da’bomb. Tidak jemukah kamu mengadap Dom Polski untuk bertahun-tahun?
Beberapa tempat sudah dikenal pasti. Yang pastinya, kosnya sedikit tinggi. Tapi jangan risau, kami juga akan berusaha mensubsidi kamu (ini tiada kena-mengena dengan frasa ‘bangsa subsidi’).
Malaysia Nite tahun ini agak eksperimental. Kami cuba untuk membuktikan bahawa acara ini boleh dianjurkan dalam masa tak kurang sebulan!
Apa yang perlu kamu buat?
Kata kunci: bersedia!
1. Bersedia di peti masuk e-mel kamu. Segala maklumat lebih rasmi akan dihantar. Kalau kamu belum berdaftar dengan MASCA, sila daftar di sini. Katakan di situ kamu mahu mendaftar. Simpan duit halal kamu. Pendaftaran kami percuma.
2. Bersedia untuk menyertai tim penganjuran kedua-dua acara ini sebagai sukarelawan atau performer. Menganjurkan acara seperti ini umpama memikul kawanan gajah. Kami memerlukan rakan-rakan yang lain untuk sama berkongsi memikul gajah-gajah ini.
Jika kamu ada bakat sebagai pengurus pentas, jurulatih tari, jurugambar, pengacara majlis, pengawal keselamatan, pegawai perhubungan awam dan apa-apa lagilah, inilah masanya untuk kamu mengembangkan dan mengasah bakat kamu itu. Penuhkan resume kamu yang sendat itu.
3. Bersedia untuk membeli tiket Malaysia Nite. Kaunter jualan akan dibuka di tempat-tempat berhampiran kamu. Ada kemungkinan tempat tersangat-sangat terhad memandangkan kos yang agak tinggi (dan dewan yang kecil, barangkali).
4. Bersedia untuk membuka gerai jualan. Malaysian Carnival datang bersamanya peluang untuk kamu berniaga. Ramai yang sudah tertanya-tanya akan peluang yang lumayan ini. Bersedia untuk mendaftar. Pendaftaran akan dibuka. Nanti.
Perhatikan ruang ini. Selain daripada emel, laman web MASCA dan laman web Malaysian Carnival, berita-berita tidak rasmi akan tersiar di sini (seperti yang kamu baca sekarang inilah kiranya). Laman-laman rasmi mungkin mengambil masa untuk diupdet.
Beritahu kawan-kawan kamu yang lain.
Kredit imej: Aldor
Email
Print