
Ingat saya pernah tulis sedikit tentang Malaysia Night?
Beliau telah lahir dan diberi nama yang sah: Nostalgia Night 2009. Sebelum kita bercerita tentang beliau, kita cerita sedikit tentang beberapa babak yang berlaku sebelum kelahiran beliau.
Saya dapat mengesan ramai antara kamu tidak mahu terjerumus ke makan malam di Dom Polski (lagi). Jadi, ya, kami menghantar skuad peninjau untuk mengenal pasti lokasi-lokasi alternatif. Beberapa kriteria telah digariskan untuk mencari lokasi alternatif ini.
Pertama, mestilah dalam kawasan liputan CBD.
Kedua, mestilah dalam kawasan liputan kemampuan fiskal kamu dan kami. Kamu, kerana kamu yang akan membayar pengerasnya (secara idealnya, kami tidak mahu kamu membayar apapun. Cuma goyang kaki, hadirkan diri ke majlis kami dan kebahagiaan akan datang mencurah-curah. Secara realitinya, ia tidak munasabah). Kami, kerana kamu akan disubsidi oleh kami.
Kriteria pertama sangat mudah. Dalam CBD ada berpuluh-puluh dewan agaknya.
Kriteria kedua yang sedikit payah. Satu, kebanyakan kamu akan memberontak kalau harga tiket yang kami letakkan terlalu mahal. Dua, kami bukannya kapitalis. Kami pergerakan sifar-untung yang hanya mementingkan kebahagiaan kamu. Mana kami ada duit berkepuk-kepuk.
Lokasi pertama: Adelaide Town Hall. Beliau lepas ujian pertama tetapi gagal serta-merta ujian kedua. Kami pasrah ke tempat lain.
Lokasi kedua: Adelaide Convention Center. Lepas ujian pertama. CP untuk ujian kedua. Kos keseluruhan melepasi AUD20,000. Dan mereka minta bayaran penuh dibuat sebelum majlis. Gila.
Akhirnya
Yang membawa kami ke Italian Centre. Beliau lulus ujian pertama. Malah, beliau sebenarnya berjiran dengan Dom Polski. Beliau adalah pemenang Anugerah Restoran dan Katering untuk Pusat Fungsi (function centre?) 2006 dan berpuluh lagi anugerah yang boleh kamu tonton di sini.
Kos? Menganjurkan makan malam di sini sebenarnya memakan kos lebih kurang dengan Dom Polski.
Yang lebih mantap lagi, kami tidak perlu menyusun meja, membentang alas meja, menyediakan dekorasi, menyusun pinggan dan sudu dan garpu dan cawan, mengangkat semula pinggan dan sudu dan garpu dan cawan, melipat semula alas meja, menyimpan semula meja dan menurunkan segala macam dekorasi seperti yang selalu berlaku di Dom Polski.
Tapi. Ada tapinya.
Kaveat: hanya 200 orang yang boleh dimuatkan di lokasi ini.
(Hint: beli cepat sementara stok yang terhad ini masih ada)
Saban tahun Makan Malam Merdeka penuh persembahan yang klise. Tahun ini kami persembahkan sedikit twist. Semua persembahan yang kamu bakal tonton akan disatukan oleh satu tema penyatuan (unifying theme?).
Persembahan akan lebih kurang bertemakan musikal P. Ramlee. Bukan setakat nyanyian dan lagu. Akan ada sketsa babak menarik daripada filem P. Ramlee. Mambang mabuk minum brandy, misalnya (daripada filem Pendekar Bujang Lapok).
Kalau kamu rasa kamu membesar dengan filem-filem P. Ramlee yang ditayangkan di slot Teater Bintang Lagenda di RTM (yalah, zaman kita membesar dulu mana ada ASTRO), kamu mungkin akan suka konsep ini.
(Hint: beli cepat sementara stok yang terhad ini masih ada)
Kenapa?
Beberapa sebab munasabah kenapa kamu perlu sertai majlis ini.
1. Buat kali pertama, makan malam sebegini diadakan di non-Dom Polski.
2. Buat kali pertama, persembahan ala-ala musikal akan menjadi tema majlis kita.
3. Malam itu, Omak akan menyanyi. Perlukah sebab-sebab lain lagi?
Tiket boleh didapati daripada kami. Kami akan berada di BBQ Kutip Dana kami esok. Jumpa anda di sana!
Email
Print
{ 1 comment… read it below or add one }
Omak kena ade fanclub ar pasni. gile popular!