
Saya ditanya lebih kurang begini: ini blog baru kau ke?
—
Jawapan pendek: Tidak.
—
Jawapan panjang: Mungkin ya. Mungkin tidak.
Kanvas Kosong telah wujud lebih kurang setahun. Saya pun tak berapa pasti. Makin lama saya hidup, makin saya yakin tarikh dan hari ulang tahun adalah benda yang arbitrari. Bila-bila pun tak kisah. Yang penting, ada.
Dari mana asal usul Kanvas Kosong ini?
Mari kita ke segmen sejarah peradaban blog saya.
—
Blog sulung saya telah lama saya tinggalkan. Kamu boleh lawat di sini. Saya jarang ke sana sekarang dan ia cuma dilawati oleh manusia yang mahu membuat duit dengan mempromosi cara-cara membuat duit (kalau saya rajin, saya dilit iklan itu).
Saya tidak suka perkataan benci, tapi saya benci manusia kategori itu. Manusia yang tiada emas dan tidak melombong emas. Cuma mengambil untung dengan menjual peralatan melombong emas. Emasnya, wujud atau tidak, entah! Saya harap, kamu tidak tertipu dengan emas imajinari sebegitu.
Kalau rajin, kamu boleh jadi arkeologis dan gali semua catitan lama saya. Ada yang saya banggakan. Ada yang saya malu nak mengaku itu tulisan saya.
Apapun, semua itu sebahagian daripada saya. Mahu atau tidak.
Di zaman kegemilangannya, saya menulis hampir setiap hari. Kebanyakannya tidak peribadi. Kalau peribadi, biasanya disalut coklat ekstra supaya tidak jelas. Tidak, saya bukan pemalu. Cuma… saya sendiri tidak pasti.
Di zaman kegemilangannya, tidak ramai sangat pun yang baca. Sesekali apabila ada orang yang ulas tentang blog saya atau bertanya tentangnya, saya kembang hidung.
Apabila saya ke Rumah Pena tahun lepas, ada yang masih ingat blog itu walaupun sudah 2 tahun ia berkubur. Saya sedikit bangga untuk itu.
—
Sesudah blog itu saya kebumikan tanpa talkin, saya dijangkiti virus yang pelik. Saya suka buka blog dan tutup blog.
bukhariramli.com telah hidup dalam pelbagai bentuk dan stail. Lepas saya bosan, saya bunuh ia.
Saya reinkarnasikan semula. Lepas saya bosan, saya bunuh ia lagi.
—
Kanvas Kosong adalah cubaan saya untuk kembali. Banyak yang berselirat dalam kepala saya membuatkan ia termangu-mangu tanpa arah.
Ia sudah beberapa kali dibunuh dan dipindah. Dibunuh dan dipindah.
Sekarang, inilah ia. Yang kamu baca ini.
Ya. Ini bukan baru. Kanvas Kosong sudah wujud beberapa ketika. Cuma, kredit kepada yang bertanya, mungkin semangat ia semangat baru.
Atau… semangat lama yang baru datang.
Imej:
oldcar
Email
Print