bukhariramli mengemas dan meremix bilik

16 July 2009

Salah satu kegilaan aku ialah mengubah susunan perabot dalam bilik.

Ya, itu baru berlaku. Tadi. Yang membuatkan aku menulis tentang itu di sini. Sekarang.

Seingat aku kegilaan ini bermula sejak aku di INTEC lagi. Teman sebilik aku selama setahun setengah di sana, Encik Pot, sangat-sangat faham perangai aku yang satu ini.

Bila saja beliau nampak aku dah mula dalam zon ‘nak mengalih-alih barang’ ni, beliau pandai membawa diri ke luar bilik dan duduk diam di ruang tamu. Biasanya main game di komputer beliau di situ.

Sesekali beliau akan masuk bila aku panggil beliau untuk tolong angkat katil atau almari atau rak komputer aku. Komputer aku di dalam, komputer beliau di luar, bertolak ansur sungguh beliau ni. Boleh buat menantu. Tapi lupakan hasrat itu. Beliau sudahpun jadi menantu seseorang.

Selama setahun setengah di INTEC tidak kurang 5 kali agaknya proses ini berlaku. Dan setiap kali, sekuens yang sama akan berjalan. Aku ambil mood. Pot nampak aku dalam mood. Dia keluar. Aku sapu-sapu. Aku panggil beliau untuk tolong angkat perabot. Aku teruskan menyapu. Selesai. Dan kami bahagia.

Kalau kau tanya aku kenapa aku suka adun semula (remix) perabot-perabot aku, aku tiada jawapan spesifik. Paling bagus, aku akan mencipta alasan-alasan yang bombastik supaya kau ternganga dan rahang kau jatuh.

Sebenarnya, aku tiada sebab yang tepat. Mungkin dah sampai masa. Mungkin aku ni memang tak reti duduk diam. Atau mungkin aku memang suka cari pasal. Sudahlah aku ni alergi pada habuk kan.

Kegilaan ini tidak terhenti di Malaya. Aku bawa mereka bersama sewaktu aku diekspot ke mari.

Tahun pertama, aku di The Village. Duduk seorang dalam bilik. Aku rasa kami tak patut mengalih-alih susunan perabot sesuka hati. Tapi aku ubah tak kurang 4 kali juga kot. Kadang-kadang katil di tepi tingkap. Kadang-kadang katil di tepi dinding.

Almari saja yang tidak pernah aku ubah. Sebenarnya aku mahu ubah kalau mampu. Kalau beliau tidak bersenyawa dengan dinding.

Tahun kedua, aku di Parkside. Rumah dua tingkat. Pun duduk seorang dalam bilik. Pun berkali-kali aku ubah-ubah perabot. Katil, meja studi dan rak buku aku selalu aku gaul-gaul mereka sesuka hati dalam bilik kecil itu.

Almari saja di luar dan tidak terusik.

Tahun ketiga, aku di Highgate. Jarang agaknya aku ubah apa-apa. Almarinya besar dan berat. Katilnya besar dan berat. Mejanya besar dan berat. Besar + berat = susah alih = susah diubah = aku tidak suka!

Yang aku ubah mungkin satu lagi rak dan sebuah peti ais mini yang mudah alih. Mudah alih = mudah diubah = aku suka!

Dan ya, tahun keempat, seolah-olah macam kau tak tahu-tahu lagi, aku di Kirby. Untuk kali pertama di Australia ini, aku ada rakan sebilik. Dan selepas setengah tahun, baru aku ubah perabot bilik ini.

Secara magisnya, ruang bilik ini dah jadi makin luas. Bijak sungguh susunan baru ini (secara gear automatiknya, bijak sungguh aku ini). Mungkin boleh tambah rakan serumah!

Email Email Print Print

Leave a Comment

Previous post:

Next post: