Meninggalkan sesuatu dalam sejarah peradaban dunia

8 January 2010

Di belakang tiket bas di Adelaide ini kadang-kadang kamu boleh terjumpa ayat berbunyi lebih kurang begini (setelah dibahasamelayukan): Kalau kamu tidak berdiri untuk sesuatu, kamu akan jatuh untuk apa sahaja.

Kerana saya seorang pemikir agung, ayat itu membuatkan saya terfikir: apa kata kalau setiap daripada kita ada sesuatu yang kita berdiri untuk?

Maksud saya, sesuatu yang kita sangat-sangat perjuangkan. Apa yang kita perjuangkan tu pula adalah benda yang kita suka. Apa benda yang lagi bagus daripada menyokong dan memperjuang apa yang kita suka?

Perniagaan

Contohnya, katakan kamu suka berniaga. Kamu berniaga air, roti dan rim basikal. Bukan saja kamu berniaga, malah kamu mengajar dan mengajak kawan-kawan kamu berniaga.

Kamu beritahu mereka faedah berniaga, macam mana nak berniaga dan berapa yuran perlu dibayar untuk memohon lesen beras.

Kerana semangat kamu berniaga, kamu bebas daripada sesuatu yang dikatakan sebagai kekangan kewangan. Jadinya, duit yang lebih itu dilaburkan lagi dan lagi. Kerana perniagaan kamu maju, duit kamu membiak bukan saja melalui pembelahan dedua, malah pembiakan tetiga, eempat dan tetigapuluh.

Dan kerana semangat kamu yang berjangkit, kawan-kawan kamu juga mengalami tragedi yang sama. Duit mereka membiak di luar kawalan.

Sukan

Katakan pula, kamu tidak minat berniaga, tapi minat bersukan. Kecergasan adalah hak milik setiap insan, kata kamu.

Dan kamu selalulah bersukan menambahbaikkan kadar kecergasan kamu. Bukan saja kamu bersukan, malah kamu mengajar dan mengajak kawan-kawan kamu bersukan juga.

Kamu beritahu mereka faedah bersukan, macam mana nak bersukan dan berapa yuran perlu dibayar untuk menyertai gimnasium/fasiliti sukan.

Kerana semangat kamu bersukan, kamu mempunyai stamina yang melimpah ruah. Bonus: kamu juga sedikit lebih bijak kerana kata kerajaan dalam iklan-iklan khidmat masyarakat ‘Badan sihat, otak cerdas’.

Kawan-kawan kamu juga terjangkit perkara yang sama.

Poin saya ialah…

…ia bukan tentang duit, ia bukan tentang kecergasan abadi.

Kalau kamu ada sesuatu kesukaan dan kamu betul-betul menjadi aktivis dalam sesuatu itu, secara tak langsung kamu telah menambahbaik aturan alam walau dalam sekecil cara manapun.

Paling tidak, ada sesuatu yang kamu telah lakukan sepanjang hidup di dunia. Ada sesuatu yang kamu tinggalkan di sebalik lipatan sejarah. Legasi. Kalaupun tidak besar pada dunia, mungkin tidak kecil pada kawan-kawan yang kamu sentuh dengan semangat kamu itu.

Saya sebenarnya terjangkit dengan aktivis-aktivis yang saya tonton. Mungkin kita tidak selalu bersetuju dengan apa yang mereka juangkan.

Tapi, dalam diam, saya simpan rasa hormat kerana mereka ada sesuatu yang mereka pegang.

Dan kerana semangat mereka, banyak benda baik berlaku. Mereka bukan hanya memenuhi impian sendiri, tapi juga membantu orang lain memenuhi impian sendiri.

Beberapa contoh yang bukan imajinari:

Ainon Mohd
Puan Ainon membina PTS dengan moto untuk memandaikan bangsa. PTS bertanggungjawab memberi nyawa baru pada penerbitan buku melayu. Buku melayu yang dulu sekadar picisan di kedai buku mewah sekarang sudah mendapat tempat.

Beliau juga berkongsi tips-tips untuk penerbit-penerbit lain. Dan yang paling penting, melatih bakal penulis untuk menjadi penulis buku yang berjaya.


Chef Li

Mengikut cerita yang saya faham melalui buku beliau, Chef Li adalah seorang pegawai bank yang berhenti kerja untuk berniaga makanan di pasar malam setelah berjumpa ramai ‘jutawan senyap’ berurusan di bank.

Sekarang, sesudah memenuhi impian sendiri, Chef Li membantu peserta kursus beliau memenuhi impian menjadi tauke bisnes makanan.

Sindiket Soljah
Dua contoh tadi agak kebisnesan. Ini tidak.

Sindiket Soljah adalah sekumpulan lelaki yang menyuntik pop ke dalam seni. Atau lebih kurang begitulah.

Mereka giat menerbitkan buku. Bukan saja tulisan sendiri, tapi juga tulisan orang lain. Maskara, acara seni anjuran mereka bermula daripada majlis kecil ‘kawan-kawan yang kita suka’ kepada majlis besar seperti Maskara Shorties. Ramai penggiat seni yang berpeluang menonjolkan bakat di pentas Maskara.

Semangat mereka berjangkit-jangkit.

Dan, ya, saya tulis tulisan ini untuk saya sendiri.

Selebihnya, mungkin untuk kamu. Selebihnya lagi, sila panjangkan kepada kawan-kawan kamu.

Kredit imej: spanaut

Email Email Print Print

Leave a Comment

Previous post:

Next post: