Catatan rawak di pagi Jumaat.
—
Mengenang seseorang tidak perlu hanya pada hari lahirnya. Biasanya saya ada masalah sikit untuk memperbesar hari (ulangtahun) kelahiran.
Tidak. Saya tidak menentang hari lahir (apatah lagi Maulid Nabi). Cuma bagi saya, hari lahir adalah sekadar satu lagi hari. Mungkin istimewa sikit. Tapi tiada yang lebih-lebih.
Kalau orang sambut hari lahir saya, mungkin ego saya akan sedikit bertambah kerana saya perasan bahawa ada orang ingat pada saya. Cuma ia bukan hari terpenting sepanjang tahun.
(Fahaman saya ini kadang-kadang mendatangkan masalah. Ia di luar skop catitan ini).
—
Di kala Maulid Nabi ini akan kedengaran petikan ayat Quran yang bermaksud: ‘Tidak kamu utuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat seluruh alam’.
Saya bukannya pakar ulum Quran.
Saya faham rahmat.
Itu kata pinjaman (kita ambil terus, tak pulang pun, kira pinjam ke?) daripada bahasa Arab: rahmah/rahmat. Dalam bahasa Melayu, maksudnya… erm… rahmat. Diterjemah ke bahasa Inggeris maksudnya kurang lebih blessing.
Saya faham seluruh alam.
Maksudnya seluruh alam. Tiada pengecualian. Tidak kira bangsa, agama, warna kulit dan makanan kegemaran.
—
Saya tetap percaya bahawa Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Saya tidak percaya sekali-sekali beliau membawa kekejaman, kebencian atau sekadar hukuman.
Maksud saya, memang di dalam agama ada larangan, ada hukuman, ada tegahan. Cuma perkara-perkara tersebut bukan segala-galanya tentang agama.
Sekali lagi, saya bukan pakar agama.
Tetapi kalau kita melihat di mana-mana, perkara-perkara di atas difokuskan melebihi segalanya. Bagaikan agama sekadar itu. Dan terhenti di situ.
Banyak perkara yang kita boleh pelajari daripada Nabi Muhammad. Berniaga, umpamanya.
Saya ini kirakan duit saja, fikir kamu.
Tidak.
Daripada cara perniagaan beliau, kita boleh pelajari bagaimana beliau menguruskan sumber, berdiplomasi dan berurusan dengan pesaing.
Sekali tinjau ke bahagian bisnes di mana-mana kedai buku, kita dapat lihat betapa berkaitnya perniagaan dengan kepemimpinan, komunikasi, diplomasi, pengurusan (sumber, staf dan diri sendiri) dan lain-lain.
Itu baru satu bab.
Saya percaya, banyak bab lagi yang boleh dikaji tentang hidup Nabi Muhammad dan apa yang dibawa oleh beliau seperti ekonomi, psikologi dan persahabatan.
Yang pastinya membawa rahmat untuk seluruh alam.
—
Ya, mungkin nada tulisan saya terpengaruh dengan apa yang saya fikir malam tadi.
Ada banyak cara untuk menyambut Maulid Nabi. Pastikan sambutan itu benar-benar mencari dan menyebarkan rahmat yang dibawa beliau.
Saya tidak pernah tahu sebab mengapa perarakan kemerdekaan diadakan. Banyak tak guna daripada guna. Pendirian yang sama saya ekstrapolatekan juga kepada perarakan Maulid Nabi.
Ada banyak tulisan tentang Maulid Nabi dan pengajaran yang boleh diambil. Saya tahu. Saya sekadar mahu berkongsi yang ini. Kali ini.
Imej:
The mosque of Prophet Muhammad
Email
Print