Teh O Ais beralkohol

10 February 2010

Bekerja di Swinging Bowl mendesak banyak memori lama tentang kedai saya (pembetulan: kedai ayah saya) timbul secara tiba-tiba. Yang seronok dan tidak.

(Iklan: saya akan tulis banyak tentang memori ini. Nanti).

Salah satu yang seronok ialah melihat tingkah laku orang ramai yang melucukan.

Ini saya baru dapat tadi.

Amoi: What are they drinking?
Sambil menunjuk pada dua orang gadis Melayu Malaysia (rujukan) menikmati sensasi teh o ais yang baru saya hidang.

Saya: Iced tea.
Amoi: Not the bottled one. They drink from the glass.
Saya: Yes, iced tea.
Amoi: Pardon?
Saya: Teh o ais.
Amoi: Huh?
Saya: Iced tea. Teh o ais.
Amoi: Is it alcohol?
Saya: Nope. It’s just tea with sugar without milk plus ice.
Wah. Macam formula. Inilah formula sensasi teh o ais itu.

Tak, saya tak faham macam mana alkohol boleh timbul dalam insiden ni. Ini restoran halal la amoi.

OK. Mungkin dia tak faham apa itu halal. Mungkin dia tak pernah dengar apa itu halal. Bagi dia, halal itu mungkin perlakuan yang penguin lakukan ketika sakit perut. Agaknya. Atau apa. Tak membawa apa erti pun pada dia.

Ini satu lagi.

Saya menyorok sebalik food warmer dan cermin. Saya kan pemalu. Depan saya ada mamat cina. Sebelah mamat tu, ada seorang akak. Melayu.

Mamat: Can I get the sambal egg?
Saya: Of course you can. Asalkan kau bayarlah kan.
Dalam hati. Haha.

Saya: What’s the other one?
Mamat: Can I get the pork?
Sambil menunjuk pada kurma kambing.

Saya: I’m sorry. That’s lamb.
Akak yang berada di tempat kejadian tu pandang aku. Membuntangkan mata. Aku senyum. Akak tu berpura-pura tak nak gelak. Konon.

Yang ni lagi mantap. Tak nak tanya langsung, babi ke tak. Terus jatuh hukum kata kurma tu berdagingkan babi.

Satu misteri alam yang terbesar mengorbit kepala saya sekarang ialah: sebesar-besarnya nama makanan saya tulis dekat cermin food warmer tu, transparenkah ia pada mata pelanggan-pelanggan.

Tulisan nama makanan itu sentiasa berkadar terus dengan bilangan hari saya bekerja di sini dan betapa hanginnya saya terhadap ketidakpedulian masyarakat terhadap ia. Atau dalam bahasa melayu mudah: makin lama makin besar saya tulis!

OK. Ini dah jadi cerita tepi.

Berbulu tak kamu kalau sebesar-besar kamu tulis, masyarakat setempat tetap akan bertanya ‘What’s this?’ ‘What’s that?’

Bulu-bulu itu akan tumbuh lebih cepat sekiranya:
a) soalan ditanya ketika waktu puncak i.e. paling kurang lima belas orang sedang beratur di belakang
b) selepas soalan diajukan akan ada diskusi dan bahas ala Parlimen (minus ketuk-ketuk meja) antara si penyoal dan rakan si penyoal tentang kewajaran memilih satu-satu hidangan itu sebagai santapan tanpa mempedulikan yang trafik satu negara sedang statik kerana mereka.

Sekian cerita tepi.

Nanti-nanti saya akan tulis mengenai asam garam orang berbisnes. Saya tidak percaya setelah bergelumang dalam bidang bisnes jual beli selama tujuh belas tahun, tidak sekalipun terlintas untuk saya menulis tentang ia.

Selain dapat gaji dan makan percuma, inilah kelebihan bekerja di Swinging Bowl bagi saya: memberi nyawa tambahan kepada memori saya.

Nota kaki:
Gambar tak cantik. Untuk paparan lebih jelas, nantikan laporan daripada taukey Swinging Bowl. Kami berlumba siapa dulu yang akan tulis tentang teh o ais mabuk dan kurma babi tadi.

Saya menang.

Email Email Print Print

Leave a Comment

Previous post:

Next post: