
Cuba tenang seketika
Cuba pejam mata
Biar resah hilang saja
Dan cuba diamnya bicara
Sediam bersama
Di temani jasad kita
Kan ku cari konklusi
~ Hujan
Apabila berlakunya sesuatu yang kita tak mahu berlaku, apakah perasaan kamu?
Dale Carnegie pernah memberitahu saya (sudah tentu, dalam sebuah buku beliau. Takkanlah tiba-tiba beliau datang mengetuk pintu bilik saya malam-malam dan perturunkan nasihat kan): Accept the worst. Atau, jika kamu seorang patriot bahasa, terimalah yang terburuk.
Nasihat ini saya selalu panjangkan pada kawan-kawan yang meminta nasihat berkaitan hal ini. Apa mujarabnya nasihat ini? Mungkin saya boleh ceritakan dalam bentuk.. erm… cerita!
Karnival
Malaysian Carnival merupakan projek terbesar MASCA untuk sesi ini. Setelah beberapa ketika mencari penaja, kami mendapat satu pencerahan agung di bawah pokok Bao: credit crunch (bukan bijiran sarapan)!
MSD sendiri sebagai penaja utama kami tahun lepas tidak dapat memberi barang sesen pun.
Tahun lepas, South Australia tidak menghantar kontinjen ke NCG. Yang membawa maksud, peruntukan NCG boleh ditransfom kepada peruntukan Malaysian Carnival.
Maksudnya: kami tiada duit!
Mengikut teori ekonomi, tiada duit maka tiadalah khemah, tiadalah pentas, tiadalah peti ais dan adik-beradiknya. Tiada semua ini = tiada majlis.
Setelah lama cuba menolak kebenaran, kerana saya seorang idealis, Munir akhirnya mengangkat isu ini, kerana beliau seorang realis. Realiti = tiada Malaysian Carnival = perkara yang saya tidak mahu berlaku.
Saya boleh beri berpuluh sebab mengapa saya tidak mahu perkara ini berlaku. Saya rasa kamu boleh teka sebahagiannya. Terutama kawan-kawan dalam MASCA.
Tapi, ia hampir pasti akan berlaku. Menolak kebenaran itu hanyalah sekadar itu: menolak kebenaran. Sejauh mana mahu ditolak, ia tetap akan datang.
Jadi, saya cuma menelan nasihat sendiri: Terima yang terburuk.
Terima yang terburuk ini maksudnya bukanlah kita menadah tanpa usaha dan sekadar berpuas hati dengan setiap yang kita dapat tanpa mahu menambah baik. Tidak sama sekali.
Cuma, saya melihat, ketidakterimaan kita terhadap sesuatu menjadikan sesuatu itu lebih berat. Untuk menjadi sedikit filsuf, kesedihan kita terhadap kesedihan kita adalah satu tahap kesedihan yang tersendiri. Atau bak kata orang kampung saya: Our unhappiness about our unhappiness is another level of unhappiness.
Perkara terbaik yang boleh dibuat ialah: menghindar sesuatu yang tidak diingini. Perkara kedua terbaik (kalau ia tidak boleh dihindar) ialah: terima sesuatu itu dan cuba menambabaik daripada situ.
Kita menerimanya supaya kita boleh bertenang dan berfikir dengan waras. Dan supaya tidak ditelan kerisauan melampau.
Berbalik kepada soal Malaysian Carnival tadi, sewaktu berbincang tentang itu, saya mewujudkan situasi imajinari dan teoretikal: kalaulah Malaysian Carnival itu saya dah mansuhkan daripada kalendar, apa yang kita boleh buat? Kalau kamu mengintai bilik itu waktu itu, mungkin kamu akan nampak awan yang mendung telah beredar dan mentari pun menyinar. Dan mata setiap kami bersinar-sinar macam kartun Jepun.
Selepas kita boleh bertenang dan berfikir dengan waras, baru kita boleh mencari jalan untuk menambah baik keadaan. Dalam kes Malaysian Carnival tadi, situasi imajinari itu membolehkan kami mengangkat beban dan mengalihkan awan hitam bagi membebaskan kepala untuk berfikir perkara-perkara lain.
Akhirnya, situasi imajinari itu disahkan dan kami betul-betul berfikir tentang alternatif. Rumah terbuka hari raya, misalnya.
Yang membawa kita kepada satu lagi cerita.
Raya
Idea asalnya ialah: kami mahu menganjurkan solat Raya dan seterusnya rumah terbuka Aidilfitri.
Sekali lagi, saya terlalu idealistik. Masa yang terhad. Tarikh raya yang tidak konstan. Dewan yang masih belum ditempah. Dan sekali lagi, tarikh raya yang masih samar menyusahkan penempahan dewan. Masa yang suntuk.
Dan saya. Saya ada seminar projek tahun akhir sehari selepas majlis. Kamu mungkin dah lama tahu, kalau studi dan MASCA bertembung, biasanya MASCA yang menang.
Sekali lagi, Munir membawa kami ke realiti. Membawa kami untuk menimbangkan rancangan asal: rumah terbuka Aidilfitri pada Sabtu pertama Syawal, bukan 1 Syawal.
Sekali lagi, saya mengaplikasikan teori situasi imajinari saya. Kali ini dalam kepala sebab ahli sidang terlalu ramai untuk membincangkan sesuatu yang teoretikal.
Dan sekali lagi, kami cuba membuat lemonade daripada lemon. Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran MASCA SA dan Kelab UMNO SA akan berlaku pada 26 September 2009. Sila semak pemberitahuan berhampiran anda. Nanti.
Bahagia
Apa kena-mengena ini semua dengan kamu…
Saya mungkin bercerita tentang perkara yang jauh daripada kamu. Tentang sesuatu yang kami tidak ambil pusing pun. Cuma, tidak bermaksud kamu tidak boleh mengaplikasikannya untuk perkara-perkara yang kamu peduli.
Saya melihat ramai orang sekeliling saya dan orang yang rapat dengan saya, yang bermasalah untuk menerima sesuatu di luar kawalan mereka. Dan selalunya, membelasah diri mereka cukup-cukup untuk sesuatu yang tidak boleh dikawal.
“The primary cause of unhappiness is never the situation but your thoughts about it.” ~ Eckhart Tolle
Kalau sesuatu perkara tidak diingini berlaku dan ia tidak boleh dielak, terimalah. Dan improvlah dari situ. Jangan menoleh ke belakang. Jangan memberi alasan untuk menyedihkan diri sendiri. Jangan membuat cerita untuk memberi lebih sebab pada diri sendiri untuk tidak mahu terima.
Kalau kita membeli kalkulator dan ia tidak berfungsi seperti kita mahu atau kalau ia selalu berfungsi bukan seperti kita harap, mungkin kita perlu rujuk buku panduan pengguna. Kalau perlu, mungkin kita ubah cara kita menggunakannya atau mungkin kita hantar repair.
Sama juga seperti hati dan perasaan. Kalau kita selalu marah-marah atau selalu sedih atau selalu murung atau selalu mempunyai perasaan negatif, mungkin kita perlu belajar bagaimana untuk menggunakannya. Kalau perlu, mungkin kita ubah cara kita menggunakannya atau mungkin kita hantar repair.
Lawatan sambil belajar:
Is that so?
Accept what is – Don’t judge good or bad
Foto: kwerfeldein
Email
Print
{ 2 comments… read them below or add one }
woi~
Sopan santun sikit la wei.